Gapena tidak setuju bahasa Mandarin disama taraf dengan bahasa Malaysia
Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) tidak bersetuju
dengan tuntutan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong
Zong), yang mahu bahasa Mandarin menjadi bahasa pengantar utama di
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di seluruh negara.
Ketua Satu Gapena, Profesor Datuk Wira Abdul Latiff Abu Bakar berkata
tuntutan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan
yang menyatakan
bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara ini "Bahasa lain tidak
harus dijadikan modal untuk mencabar bahasa kebangsaan negara ini,"
katanya ketika berucap pada perjumpaan siri wacana Gapena di Dewan
Sekolah Menengah (Perempuan) St. George hari ini.
Beliau berkata, Gapena akan menghantar memorandum akhir Julai ini
kepada kerajaan Persekutuan agar mengabaikan tuntutan jawatankuasa itu.
"Kami menggesa semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong kami
dan menyertai kami dalam memperjuang kedudukan bahasa Malaysia,"
katanya.
Antara kandungan memorandum itu ialah menuntut agar diadakan semula
silibus lisan bagi memastikan semua rakyat fasih bertutur bahasa
kebangsaan dalam kehidupan seharian mereka.
Abdul Latiff juga mengingatkan masyarakat agar menghormati bahasa
Malaysia sebagai bahasa kebangsaan, dan bukan menganggap ia sebagai
bahasa yang menunjukkan perbezaan kaum